PERKIM Limbang Terus Aktif Santuni Golongan Memerlukan
LIMBANG: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang terus memainkan peranan aktif dalam membantu golongan memerlukan menerusi penganjuran program kebajikan yang menghimpunkan masyarakat setempat serta menyantuni anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, usaha murni yang dilaksanakan oleh PERKIM itu bukan sahaja membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik, malah mengeratkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada PERKIM Cawangan Limbang yang sekali lagi menganjurkan majlis yang sangat bermanfaat ini serta berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal dan OKU,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbang Hari Raya Aidilfitri dan Penutupan Majlis Bacaan Al-Quran Sempena Bulan Ramadan 1447H PERKIM Cawangan Limbang pada Ahad.
Tambahnya, PERKIM saban tahun memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dapat diraikan dengan lebih bermakna.
Dalam majlis tersebut, sejumlah RM15,811 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2,500 merupakan sumbangan tahunan daripada Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib kepada semua cawangan PERKIM di Sarawak, manakala RM13,311 lagi diperoleh melalui kutipan sumbangan ahli PERKIM.
Selain itu Datuk Dr Abdul Rahman turut menyalurkan sumbangan kepada penerima-penerima pada program tersebut.
Secara keseluruhannya, seramai 73 penerima menerima sumbangan tersebut yang terdiri daripada 44 orang anak yatim dari 12 sekolah rendah serta prasekolah di Limbang, selain 27 ibu tunggal asnaf yang juga merupakan ahli PERKIM serta dua orang OKU yang merupakan anak kepada ahli pertubuhan berkenaan.
Hadir sama Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud, Pemanca Sahat Bagol, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang, Mohammad Abu Bakar serta dif kehormat lain -EDISI UKAS