Program Ihya Ramadan Eratkan Silaturahim Penduduk Kampung Moyan Laut
ASAJAYA: Ihya Ramadan di Masjid Darul Naim, Kampung Moyan Laut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, Ramadan adalah bulan yang menyatupadukan umat Islam dan mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan.
Beliau juga menyeru masyarakat agar memanfaatkan baki hari Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadah serta mengimarahkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
Terdahulu, ketibaan beliau pada malam Ahad bersama tetamu kehormat disambut mesra oleh kariah sebelum bersama-sama menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, beliau memaklumkan bahawa beliau tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka pada tahun ini selaras dengan amanat Perdana Menteri kepada semua anggota pentadbiran persekutuan.
Namun katanya, perkara tersebut tidak menghalang masyarakat untuk meraikan Syawal secara sederhana dan penuh kesyukuran.
“Sekiranya saya ada mengadakan secara kecil-kecilan nanti, jemputlah datang,” tambah beliau.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan set solat kepada kariah yang hadir sebagai tanda penghargaan serta galakan untuk terus mengimarahkan masjid.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Penghulu Kampung Moyan Laut Gani Awi, Ketua Wanita PBB Asajaya Mahani Sahari serta Pengerusi Masjid Darul Naim Kampung Moyan Laut Bana Keri.-EDISI UKAS