Utamakan Keselamatan di Jalan Raya Sepanjang Musim Perayaan
MUKAH: Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya sepanjang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato’ Ir Yusuf Abd Wahab, mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.
“Pengguna jalan raya juga perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Pejabat Daerah Tanjung Manis (Lama) pada Ahad.
Kempen tersebut dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Mukah dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Sebagai sebahagian daripada program itu, sebanyak 100 pek bubur lambuk dan bubur pedas telah diagihkan kepada pengguna jalan raya sebagai tanda penghargaan, di samping usaha mendekati masyarakat sambil menyampaikan mesej keselamatan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah.-EDISI UKAS