Perkukuh Peranan SIDS Limbang Dalam Pembangunan Komuniti
LIMBANG: Usaha memperkasa peranan wanita serta pembangunan komuniti terus diperkukuh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 setahun kepada Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Limbang.
Beliau berkata, sokongan berterusan kepada organisasi tersebut penting bagi memastikan pelbagai program kebajikan, pembangunan komuniti dan aktiviti pemberdayaan wanita dapat dilaksanakan secara konsisten.
Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan oleh SIDS selama ini jelas mencerminkan kerjasama erat antara organisasi dan masyarakat dalam memperkukuh kesejahteraan sosial di kawasan setempat.
“Saya berasa bangga melihat kesungguhan pihak SIDS yang sentiasa aktif menjalankan pelbagai program kebajikan dan pembangunan komuniti. Ini membuktikan organisasi ini memainkan peranan yang amat relevan serta mendapat sokongan baik daripada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Motivasi dan Mesyuarat Tahunan SIDS Cawangan Limbang yang dihadiri seramai 135 peserta di Bilik Seminar St. Edmund, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, SIDS juga berperanan sebagai rakan strategik kerajaan dalam membantu menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai program serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak kepada masyarakat.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi SIDS Pampang Iban Limbang, Bernadette Kelumeh Nyanggai sebelum diteruskan dengan sesi motivasi yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Marvelys Micheal Dian.
Turut hadir Temenggong Wilie Marum Liaw, Kaunselor Ugak Sanggau dan Kaunselor Aaron Rachel Paulus.-EDISI UKAS