Sarawak Gesa Semak Semula Had Umur, Syarat Kuota Atlet OKU
KUCHING: Sarawak menggesa agar keputusan berkaitan penurunan had umur serta perubahan syarat kuota penyertaan bagi atlet orang kurang upaya (OKU) disemak semula bagi memastikan pembangunan sukan golongan tersebut dapat diteruskan secara inklusif dan berkesan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dua keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) pada Januari lalu dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan sukan OKU di negeri ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut melibatkan penurunan had umur atlet daripada 45 kepada 40 tahun, selain perubahan syarat kuota penyertaan acara daripada minimum empat atlet mewakili dua negeri kepada empat atlet daripada tiga negeri bagi membolehkan sesuatu acara dipertandingkan.
Katanya, Sarawak membantah penurunan had umur itu kerana ia dilihat tidak selari dengan keperluan sebenar pembangunan atlet OKU yang lazimnya berkembang pada kadar berbeza berbanding atlet biasa.
“Di peringkat antarabangsa, tiada had umur ditetapkan untuk atlet OKU. Mereka sendiri tahu bila masanya untuk berundur.
“Golongan OKU juga kebanyakannya merupakan ‘late bloomers’ atau berkembang lebih lewat. Oleh itu, kita tidak seharusnya mengehadkan peluang mereka untuk terus aktif dan berkembang dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol di pejabatnya di sini, pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Dato Sri Fatimah turut berkongsi perkembangan pembangunan sukan OKU di Sarawak termasuk sejarah, pencapaian serta jenis sukan yang dibangunkan di bawah kementerian berkenaan.
Menurutnya, selain sukan para, Sarawak juga giat membangunkan Special Olympics dan bakal menjadi tuan rumah Special Olympics National Games di Bintulu pada April ini.
Tambah beliau, Sarawak sebelum ini turut menjadi tuan rumah kejohanan sukan atlet pekak selain terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan bagi kategori masalah penglihatan dan atlet kerdil.
Beliau menegaskan bahawa sukan bukan sahaja platform mencungkil bakat, malah menjadi medium penting memperkasa golongan OKU sekali gus memberi harapan dan semangat untuk mereka menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.
Sementara itu, Mordi Bimol berkata kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak khususnya dalam pembangunan sukan para dan OKU.
Menurutnya, pertemuan itu juga memberi ruang untuk membincangkan isu berkaitan termasuk had umur atlet para serta mendapatkan pandangan daripada kementerian negeri, jurulatih dan pihak berkepentingan.
“Kehadiran saya hari ini adalah untuk mendengar, memahami dan membawa isu ini ke peringkat seterusnya.
“Sebagai anak Sarawak, menjadi tanggungjawab saya untuk membawa perkara ini agar ia dapat diberi perhatian dan dipermudahkan,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Mazuki.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang