Belia Cina Sri Aman Digalak Bantu Jayakan PCDS 2030
SIMANGGANG: Golongan belia daripada persatuan-persatuan kaum Cina di Sri Aman digalak untuk bersama membantu Kerajaan Sarawak merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, penglibatan belia amat penting kerana mereka merupakan tenaga penggerak utama dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, pelaksanaan PCDS 2030 bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek ekonomi, malah turut merangkumi pembangunan sosial dan pendidikan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, sokongan daripada belia pelbagai kaum termasuk komuniti Cina amat diperlukan bagi memperkukuhkan usaha kerajaan dalam merealisasikan pelan pembangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2026 anjuran Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menambah, Kerajaan Sarawak sentiasa membuka ruang kepada golongan belia untuk menyumbang idea serta tenaga dalam pelbagai program pembangunan.
“Belia merupakan aset penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan negeri, khususnya dalam menjayakan PCDS 2030 yang menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak.
“Mereka juga berperanan sebagai jambatan perpaduan kaum serta pemacu masa depan negeri. Dengan semangat sukarela dan komitmen tinggi, kita yakin matlamat PCDS 2030 mampu dicapai demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sarawak,” ujarnya.-EDISI UKAS