ADUN Simanggang Ziarah Keluarga Mangsa Kebakaran Taman Sentosa Indah
SIMANGGANG: Dalam suasana penuh emosi selepas tragedi kebakaran yang meragut dua nyawa termasuk seorang kanak-kanak, keluarga mangsa dari Taman Sentosa Indah menerima kunjungan dan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, pada Ahad.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Sarawak itu mengadakan ziarah terhadap keluarga mangsa dengan menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris bagi meringankan beban yang ditanggung selepas tragedi berkenaan.
Pertemuan bersama salah seorang ahli keluarga mangsa, Dayang Siti Mahfuzah Mohd Sanwani, berlangsung di Rumah Rehat Kerajaan Sri Aman sekitar jam 11.30 pagi.
Ketika ditemui, Datuk Francis berkata kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Sentosa Indah pada subuh 7 Mac lalu telah mengorbankan anak bongsu serta ayahnya, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
“Justeru, Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Komuniti Melayu Daerah Sri Aman melalui saya telah pun menyumbang khairat kematian sebanyak RM700 kepada Dayang selaku waris,” katanya.
Datuk Francis berharap keluarga Dayang dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan selain menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut.
Menurutnya, usaha sedemikian mampu menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat sekali gus membantu keluarga mangsa bangkit semula selepas tragedi berkenaan.
Tambah beliau, selain bantuan kewangan, sokongan moral daripada komuniti juga amat penting bagi membantu meringankan beban emosi yang ditanggung keluarga mangsa kebakaran tersebut.-EDISI UKAS