Pentadbiran Inklusif Perkukuh Perpaduan Masyarakat
LAWAS: Prinsip pentadbiran yang saksama dan adil menjadi asas penting dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama dan budaya di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan pentadbiran yang inklusif serta menghormati kepelbagaian masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan hak semua pihak sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, agama turut memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak mulia serta jati diri masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian bersama.
“Pentadbiran yang berlandaskan prinsip saksama dan adil amat penting bagi memelihara hak semua pihak walaupun berbeza agama dan budaya, manakala agama pula berperanan membentuk akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Jarak Jauh Kali Ke-30 sempena Ramadan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas pada Ahad.
Majlis tersebut disertai seramai 1,010 peserta daripada 101 kumpulan yang mewakili lapan cawangan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Al-Quran bukan sahaja menjadi panduan hidup umat Islam, malah berperanan memperkukuh ukhuwah serta membentuk jati diri masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi PERKIM Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata sambutan terhadap program tersebut amat menggalakkan dengan jumlah keseluruhan penyertaan mencecah 1,212 orang.
Menurut beliau, penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan semangat ukhuwah yang kukuh dalam kalangan umat Islam untuk terus mendekati dan menghayati ajaran Al-Quran.-EDISI UKAS