LCDA Santuni Komuniti Ulu Merapok, Salur RM400,000 Kepada 348 Asnaf
LAWAS: Seramai 348 penerima asnaf di kawasan Lawas menerima sumbangan berjumlah RM400,000 menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Asnaf dan Berbuka Puasa LCDA Bersama Komuniti 2026 yang berlangsung di Kampung Bukit Puan, Ulu Merapok, pada Ahad.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) agensi berkenaan.
Program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan asnaf, malah mengeratkan hubungan antara LCDA dengan komuniti setempat melalui aktiviti kemasyarakatan bersempena bulan Ramadan.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Kedayan, Melayu Brunei, Lun Bawang dan Tagal yang sentiasa bekerjasama dalam pelbagai aktiviti komuniti.
Menurut beliau, keharmonian dan kerjasama erat antara masyarakat pelbagai kaum merupakan kekuatan penting dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar dapat dilaksanakan secara berterusan.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan penduduk memanfaatkan kesuburan tanah di kawasan berkenaan bagi kegiatan pertanian dan pengeluaran makanan yang mampu meningkatkan ekonomi keluarga.
“Tanah di kawasan ini sangat subur dan mempunyai potensi besar untuk dimajukan. Oleh itu, rebutlah peluang yang ada dengan mengusahakan tanah secara produktif serta mengelakkan sebarang pertikaian atau pencerobohan tanah kerajaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan proses penyukatan tanah selagi terdapat permohonan daripada rakyat bagi memastikan pengurusan pemilikan tanah dapat dilaksanakan secara lebih teratur.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas utama dalam membina kehidupan yang sejahtera, termasuk pengetahuan akademik, pendidikan agama serta kemahiran mengurus kehidupan.
Majlis yang dihadiri kira-kira 800 tetamu itu turut dimeriahkan dengan Sambutan Malam Tujuh Likur, iaitu salah satu tradisi masyarakat Kedayan di Ulu Merapok menjelang penghujung Ramadan.
Turut hadir pemimpin masyarakat tempatan, wakil agensi kerajaan, pihak media serta rakan strategik yang terlibat dalam usaha memperkukuh hubungan antara agensi dan komuniti setempat.-EDISI UKAS