MIRI: Program Sumbangan Kasih Ramadan, Pengagihan Bubur Lambuk serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin yang diadakan di Surau Hidayatullah, Kampung Lereng Bukit memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya golongan yang memerlukan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu meringankan beban rakyat sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, melalui program terakhir yang diadakan di Kampung Lereng Bukit itu, sebanyak 1,200 kampit beras seberat lima kilogram, 600 sampul duit raya serta 600 pek barangan keperluan telah diagihkan kepada keluarga yang memerlukan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Daripada jumlah tersebut, 600 kampit beras telah ditaja oleh Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd dan Liansin Trading Sdn Bhd, manakala 600 roti pula ditaja oleh The Twin Brothers Patisserie.
Selebihnya merupakan sumbangan beliau sendiri meliputi 600 sampul duit raya, 600 kampit beras lima kilogram serta 600 pek barangan keperluan yang mengandungi dua kilogram gula, dua kilogram minyak masak, biskut dan apron.
Menurutnya, pada tahun ini Program Sumbangan Kasih Ramadan, Pengagihan Bubur Lambuk serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin telah dilaksanakan di tujuh buah kampung dalam kawasan DUN Piasau bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara terus kepada masyarakat yang memerlukan.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Luak, Kampung Haji Wahed, Kampung Tudan Desaras Fasa 6, Kampung Pulau Melayu, Kampung Wireless, Kampung Senadin Jaya serta Kampung Lereng Bukit.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak penaja, pemimpin komuniti serta jawatankuasa kampung yang membantu menjayakan program berkenaan sehingga lebih ramai keluarga dapat merasai kehangatan dan keprihatinan masyarakat sepanjang Ramadan.-EDISI UKAS