Jambatan Sungai Nyanuh Siap Dibina, Perkukuh Akses & Aktiviti Ekonomi Penduduk
TEBEDU: Penduduk Kampung Pulau Piranuk kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan Jambatan Sungai Nyanuh yang menghubungkan kawasan kampung ke tapak rumah panjang baharu siap sepenuhnya.
Majlis penyerahan projek siap itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben pada Isnin.
Projek pembinaan jambatan tersebut bermula pada 31 Mac 2025 dan siap sepenuhnya pada 7 Februari 2026 dengan kos keseluruhan RM980,000 di bawah pelaksanaan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA).
Majlis dimulakan dengan taklimat projek siap yang disampaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian, diikuti penyerahan 'Certificate of Practical Completion' (CPC) oleh JKR kepada Datuk Martin sebelum diteruskan dengan gimik pemotongan riben sebagai simbolik penyerahan projek.
Dalam ucapannya, Datuk Martin berkata pembinaan jambatan tersebut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya dalam memudahkan pergerakan serta menyokong aktiviti ekonomi seperti pertanian.
Menurut beliau, kemudahan itu juga akan memudahkan urusan pembinaan tapak rumah panjang baharu bagi penduduk Kampung Pulau Piranuk sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Beliau berharap kemudahan infrastruktur yang disediakan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti di kawasan tersebut.-EDISI UKAS