RM1.77 Juta Dana MRP-SPMS Fasa 1 Disalurkan Kepada 86 Penerima
BAU: Sebanyak RM1.77 juta dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di bawah 'Special Project Monitoring System' (SPMS) Siri 1/2026 disalurkan kepada 86 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan.
Penerima dana tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), rumah ibadat, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kelab kakitangan agensi kerajaan di kawasan berkenaan.
Penyerahan cek geran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Bau, pada Isnin.
Sementara Datuk Henry memberitahu, penyaluran dana tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan komuniti serta menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti di peringkat akar umbi.
Beliau berharap peruntukan yang disalurkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bagi melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat selaras dengan tujuan permohonan asal.
Turut hadir Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman serta Setiausaha Majlis Daerah Bau, Ong Chin Ping.-EDISI UKAS