Jambatan Batang Igan Dibuka, Tamatkan 30 Tahun Perkhidmatan Feri
IGAN: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat khasnya di kawasan luar bandar terus dizahirkan melalui pembinaan Jambatan Batang Igan yang siap sepenuhnya.
Timbalan Premier merangkap Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, infrastruktur ini sekali gus memudahkan perhubungan serta merancakkan pembangunan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.
"Usaha berterusan ini dapat dilihat melalui pembinaan Jambatan Batang Igan yang kini dibuka untuk kegunaan orang awam, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan negeri.
"Hari ini menjadi detik bersejarah bagi masyarakat di Bahagian Mukah, khususnya di kawasan Igan apabila jambatan tersebut dibenarkan untuk dilalui oleh orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Igan, pada Isnin.
Ujarnya, perkhidmatan feri Batang Igan turut ditamatkan selepas kira-kira 30 tahun beroperasi dan ia menjadi sejarah kepada penduduk di sini.
Katanya lagi, jambatan sepanjang 1.439 kilometer yang dibina dengan kos RM285.5 juta itu membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menunaikan janji membina lebih 20 jambatan di seluruh negeri.
"Tahun ini ibarat ‘tahun menuai jambatan’ apabila beberapa lagi projek jambatan di Sarawak dijangka siap dan dibuka untuk kegunaan orang awam.
“Kejayaan pembinaan projek-projek ini mencerminkan kesungguhan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam merealisasikan janji membina lebih 20 jambatan di Sarawak," jelasnya.
Pada masa sama, jambatan tersebut dibiayai menggunakan dana kerajaan negeri selepas tiga projek jambatan termasuk Jambatan Batang Igan pernah dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan pada 2018.
"Saya yakin menjelang tahun ini perkhidmatan feri dari Kuching hingga ke Miri akan ditamatkan sepenuhnya apabila semua projek jambatan siap.
"Usaha ini juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tambahnya.
Selesai majlis tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah turut menyempurnakan Majlis Keselamatan Jalan Raya dengan mengagihkan 'goodies' kepada pengguna jalan raya.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti & Ombudsman) Dato' Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Datu Dr. Cassidy Morris serta dif-dif kenamaan lain. - EDISI UKAS