Kembara UKAS Telusuri Laluan Miri–Limbang, Singkap Kepentingan Perhubungan Borneo
Perjalanan hari kelapan Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat dari Bandaraya Miri ke Limbang memberi gambaran betapa pentingnya pembangunan jaringan perhubungan yang lebih baik terutamanya apabila melalui Brunei Darussalam.
Jarak perjalanan memakan masa kira-kira tiga jam itu melalui Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien atau lebih dikenali sebagai Jambatan Temburong yang merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara, berukuran hampir 30 kilometer, merentasi Teluk Brunei untuk menghubungkan Mengkubau (Brunei-Muara) dengan Bangar (Temburong).
Sebelum sampai ke Bahagian Limbang, Kembara UKAS 2026 melalui dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) iaitu Sungai Tujoh, Miri dan Pandaruan Limbang.
Perjalanan Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat bukan sahaja meninjau pembangunan di kawasan pesisir dan bandar, malah turut memberi tumpuan kepada projek infrastruktur utama yang menjadi pemangkin pembangunan pedalaman Sarawak.
Pada kali ini, Kembara mengambil kesempatan untuk meninjau Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 yang kini menjadi tumpuan utama sebagai usaha kerajaan dalam memperkukuh rangkaian jalan raya di Borneo.
Majlis peluncuran projek tersebut telah disempurnakan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Nanga Medamit pada September 2025.
SSLR Fasa 2 Buka Laluan Baharu Pembangunan Pedalaman
Projek pembinaan SSLR Fasa 2 dilihat sebagai antara projek infrastruktur terbesar yang bakal mengubah landskap pembangunan kawasan pedalaman di utara Sarawak apabila siap sepenuhnya dalam beberapa tahun akan datang.
Dengan jajaran jalan baharu sepanjang kira-kira 335.54 kilometer dari Mulu ke Ba’kelalan, projek ini bakal menjadi penghubung penting antara kawasan pedalaman Sarawak dengan Sabah sekali gus membuka lembaran baharu kepada aspek perhubungan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Ketika ini, projek berkenaan sedang berada pada peringkat pembinaan dengan pelbagai kerja awal sedang giat dilaksanakan termasuk kerja pembersihan tapak, kerja tanah, sistem saliran serta sebahagian kerja turapan di beberapa pakej projek.
Selain pembinaan jalan utama dua lorong dua hala mengikut spesifikasi JKR R3, projek ini turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 1.61 kilometer serta pelbagai komponen sokongan lain yang direka bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya pada masa hadapan.
Infrastruktur Lengkap Sepanjang Laluan
Bagi memastikan laluan ini dapat berfungsi secara efisien, projek berskala besar ini turut melibatkan pembinaan 34 buah jambatan termasuk ‘viaduct’ serta dua terowong terbuka bagi merentasi kawasan berbukit dan lembah di sepanjang jajaran jalan tersebut.
Di samping itu, kemudahan kepada pengguna turut diberi perhatian menerusi penyediaan sembilan perhentian bas, 18 ‘bus layby’ serta tiga tapak mini kawasan rehat dan rawat (R&R) yang akan dibangunkan pada masa hadapan.
Projek tersebut juga merangkumi kerja-kerja kejuruteraan lain seperti pembinaan sistem perparitan dan pembetung, rawatan tanah dan cerun, kerja geoteknik, pemasangan perabot jalan, kerja elektrik serta langkah perlindungan dan penambahbaikan alam sekitar.
Selain itu, kerja pengalihan utiliti sedia ada seperti Gravity Feed Pipe, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Protection Slab (Gas Pipeline).
Projek Bernilai RM7.15 Bilion
Projek yang dilaksanakan menggunakan kaedah reka dan bina itu melibatkan kos kontrak keseluruhan sebanyak RM7.15 billion dengan kerja pembinaan bermula selepas penyerahan tapak pada Jun 2024.
Berdasarkan perancangan semasa, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 24 Oktober 2029 sekali gus membuka laluan alternatif baharu yang lebih selamat dan efisien bagi menghubungkan Sarawak dengan Sabah.
Dalam masa sama, kemajuan kerja fizikal di tapak terus dilaksanakan melibatkan aktiviti seperti kerja pemotongan cerun, pembinaan tambakan tanah serta kerja konkrit bagi struktur jambatan di beberapa lokasi.
SSLR Fasa 1
Sementara itu, SSLR Fasa 1 yang menghubungkan Lawas ke Persimpangan Long Lopeng juga sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan jalan raya antara Sarawak dan Sabah.
Projek tersebut melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang kira-kira 75.6 kilometer berasaskan dua lorong dua hala mengikut piawaian JKR R3, dengan mengambil kira faktor topografi kawasan serta pemuliharaan alam sekitar.
Selain pembinaan jalan utama, projek ini turut merangkumi pembinaan jambatan dan 'viaduct' baharu, kerja turapan jalan, sistem perparitan dan pembetung, pemasangan perabot jalan serta lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna.
Dengan kos kontrak sekitar RM1.02 bilion, projek yang dilaksanakan secara kaedah reka dan bina itu dimulakan selepas penyerahan tapak pada Ogos 2021 dan dijangka siap pada 20 November 2026.
Ketika ini, kerja-kerja pembinaan seperti kerja tanah, sistem saliran, pembinaan jambatan serta turapan jalan sedang giat dilaksanakan di beberapa seksyen projek.
Apabila siap kelak, projek SSLR Fasa 1 dijangka memudahkan pergerakan penduduk setempat selain meningkatkan akses perhubungan antara kawasan pedalaman dengan bandar berhampiran.
Harapan Besar Penduduk Pedalaman
Bagi masyarakat yang tinggal di sepanjang laluan projek, pembinaan jalan ini amat dinantikan kerana ia bakal membawa perubahan besar dalam kehidupan harian mereka.
Selama ini, sebahagian kawasan pedalaman di utara Sarawak masih berdepan cabaran dari segi akses perhubungan, terutama apabila perjalanan ke bandar memerlukan masa yang panjang dan kadangkala bergantung kepada jalan balak atau laluan sungai.
Dengan siapnya projek kelak, perjalanan dijangka menjadi jauh lebih mudah dan selamat, sekali gus memendekkan masa perjalanan antara kawasan pedalaman dengan bandar berhampiran.
Penduduk percaya kemudahan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja memberi keselesaan dari segi mobiliti, malah membuka peluang kepada aktiviti ekonomi yang lebih aktif di kawasan pedalaman.
Pemangkin Ekonomi Luar Bandar
Kemudahan jalan raya yang lebih baik dijangka membantu penduduk memasarkan hasil pertanian mereka dengan lebih mudah ke pasaran luar.
Produk seperti padi bukit, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan serta hasil ternakan dari kawasan pedalaman berpotensi mendapat akses lebih luas apabila sistem pengangkutan menjadi lebih lancar.
Dalam masa yang sama, wujudnya jalan baharu ini turut dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan luar bandar, terutamanya di kawasan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan budaya masyarakat tempatan.
Kawasan seperti tanah tinggi Ba’kelalan serta kawasan sekitar Mulu misalnya mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong sekiranya akses perhubungan dipertingkatkan.
Merapatkan Jurang Pembangunan
Lebih penting lagi, projek mega ini dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman.
Apabila siap kelak, jaringan jalan raya ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah meningkatkan akses kepada pelbagai kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan serta peluang pekerjaan.
Bagi masyarakat pedalaman, projek ini membawa harapan bahawa generasi akan datang akan menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik serta peluang pembangunan yang lebih seimbang.
Sehubungan itu, penduduk setempat berharap projek pembinaan jalan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar agar manfaatnya dapat dinikmati secepat mungkin oleh masyarakat yang sekian lama menantikan kemudahan perhubungan yang lebih baik. -DEMI RAKYAT