Agihan Bubur Lambuk Eratkan Silaturahim Penduduk Julau
JULAU: Semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Pengagihan Bubur Lambuk Daerah Julau yang diadakan di Masjid Darul Hidayah, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan suasana Ramadan, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut beliau, aktiviti pengagihan bubur lambuk juga mencerminkan semangat kerjasama dan nilai kebersamaan yang terus dipupuk dalam komuniti tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Program ini bukan sekadar berkongsi juadah berbuka puasa, tetapi turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara ahli SABERKAS Meluan dengan penduduk setempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut turun padang bersama ahli SABERKAS bagi mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang hadir di Masjid Darul Hidayah.
Katanya, program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi dan jabatan seperti Pejabat Daerah Julau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Julau serta agensi berkaitan yang sama-sama membantu menjayakan penganjuran program tersebut.
Beliau berharap tradisi pengagihan bubur lambuk itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memupuk semangat perpaduan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.-EDISI UKAS