SIDS Cawangan Marudi Perkukuh Peranan Persatuan Melalui Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31
MARUDI: Seramai 69 ahli menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31 Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Marudi yang berlangsung di Rh Serakup SIDS, Pekan Marudi.
Mesyuarat pada Sabtu tersebut dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif SIDS Sarawak yang juga Pengerusi SIDS Cawangan Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau serta Ahli Majlis di Majlis Daerah Marudi.
Mesyuarat itu menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Induk SIDS Cawangan Marudi bersama ketua-ketua unit bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan perjalanan dan hala tuju persatuan termasuk laporan aktiviti tahunan, cadangan serta usul daripada unit-unit di bawah cawangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keahlian SIDS Cawangan Marudi kini mencecah 1,738 orang melibatkan 49 unit, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan masyarakat setempat terhadap peranan persatuan dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan komuniti.
Selain sesi pembentangan laporan dan perbahasan usul, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Unit Terbaik sebagai penghargaan kepada unit yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan serta penglibatan aktif dalam aktiviti persatuan sepanjang tahun.
Pada majlis sama, SIDS Cawangan Marudi turut menyalurkan Bantuan Ehsan Kematian kepada 43 waris penerima sebagai tanda keprihatinan persatuan terhadap kebajikan ahli dan keluarga mereka.
Penganjuran mesyuarat tersebut berlangsung dengan lancar dan teratur sekali gus membuktikan komitmen serta semangat kebersamaan dalam kalangan ahli untuk terus memperkukuh peranan persatuan demi kesejahteraan komuniti.-EDISI UKAS