AirBorneo Sasar Enam Laluan Penerbangan Menjelang Akhir 2026
KUCHING: AirBorneo menyasarkan untuk mengendalikan enam laluan penerbangan melibatkan tiga destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa menjelang penghujung 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada Fasa 2 pelan pengembangan syarikat penerbangan berkenaan yang dijadual bermula pada Julai tahun ini, dengan operasi penerbangan serantau berpusat di hab jet di Kuching.
Menurut beliau, bagi fasa permulaan AirBorneo akan memulakan operasi menggunakan tiga pesawat ‘wet lease’ dan merancang mengendalikan penerbangan ke satu destinasi antarabangsa serantau serta dua destinasi domestik, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan slot penerbangan.
“Menjelang akhir 2026, kita mungkin akan melihat kira-kira tiga destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa, bergantung kepada slot serta kelulusan pihak berkuasa.
“Kami juga akan menggunakan pesawat Boeing 737-800 (B737-800) bagi mengendalikan penerbangan ke destinasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Iftar AirBorneo Bersama Media di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, sehingga awal Julai ini pihaknya sedang giat menyiapkan pelbagai keperluan operasi termasuk mendapatkan kelulusan kawal selia melalui kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta pihak berkepentingan lain.
Menurutnya, penerbangan serantau dijangka bermula pada Julai dengan operasi jet berpusat di Kuching sebagai hab utama, manakala Kota Kinabalu dan Miri akan terus berfungsi sebagai hab turboprop.
Dalam perkembangan sama, Megat Ardian memaklumkan Fasa 1 AirBorneo yang melibatkan pengambilalihan MASwings telah berjaya dilaksanakan pada 1 Januari lalu dengan fokus utama memastikan kestabilan operasi serta pemindahan kakitangan ke AirBorneo.
“Sepanjang kira-kira dua setengah bulan operasi sehingga pertengahan Mac, kami telah membawa hampir 100,000 penumpang.
“Prestasi ketepatan masa penerbangan (OTP) juga berada pada tahap yang baik iaitu sekitar 89 hingga 90 peratus, selain mendapat liputan media yang positif,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan AirBorneo telah menandatangani perjanjian untuk menerima lapan pesawat ATR 72-600 baharu bermula tahun hadapan bagi menggantikan pesawat ATR 500 sedia ada.
Menurutnya, pesawat tersebut akan diterima secara berperingkat iaitu dua buah pada 2027, empat buah pada 2028 dan dua buah lagi pada 2029.
Megat Ardian berkata, menjelang pelancaran rasmi pada Julai ini, AirBorneo sedang memuktamadkan pelbagai aspek termasuk kelulusan kawal selia, penyelarasan bersama pihak berkepentingan, penjenamaan, pemasaran, inisiatif komersial serta kecekapan operasi.
Maklumat lanjut mengenai laluan, slot masa serta jadual penerbangan termasuk kemungkinan destinasi seperti Kuala Lumpur dan Singapura akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat kejelasan lanjut daripada pihak berkuasa. — EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Shairazi Sapiee