Agihan Daging Aidilfitri Ringankan Beban Ketua Isi Rumah di Jemoreng
MATU: Program agihan daging sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri terus membawa kelegaan kepada ketua isi rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng apabila setiap keluarga menerima sumbangan dua kilogram daging bagi membantu persiapan menyambut Syawal.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya berkata inisiatif tersebut dilaksanakan khusus bagi meringankan beban keluarga, terutama golongan kurang berkemampuan, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat membuat persiapan perayaan dengan lebih selesa.
Beliau berkata, program berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sebanyak 16 kali sepanjang tempoh lapan tahun dan terus menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai kaum di kawasan tersebut.
“Program ini kita laksanakan untuk membantu rakyat, khususnya ketua isi rumah, agar mereka dapat membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih baik dan teratur.
“Pada masa yang sama, ia juga menjadi wadah untuk kita berkongsi kegembiraan sambutan perayaan bersama masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam program tersebut di Masjid Daerah Matu pada Ahad.
Selain membantu persiapan Aidilfitri, program itu turut menyemarakkan semangat gotong-royong apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama penduduk kampung berganding bahu membantu proses pengagihan daging kepada ketua isi rumah di kawasan masing-masing.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut berkesempatan menyampaikan duit raya kepada semua ahli JKKK yang hadir semasa proses pengagihan diadakan.
Program agihan daging tersebut dijangka akan diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan membantu masyarakat setempat, di samping memupuk semangat kebersamaan dan keharmonian dalam komuniti.-EDISI UKAS