RM178,000 Dana MRP Disalur Kepada Enam Kampung Melayu Di Betong
BETONG: Sebanyak RM178,000 dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah disalurkan kepada masjid, surau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di enam kampung Melayu sekitar Betong dalam satu majlis penyerahan cek yang berlangsung di Pejabat Majlis Daerah Betong, pada Isnin.
Penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu bersama Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM110,000 disalurkan menerusi dana MRP ADUN Layar kepada enam kampung Melayu di Betong iaitu Kampung Hilir, Kampung Tengah, Kampung Masjid, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Pasa Melayu.
Sumbangan tersebut diagihkan kepada JKKK, masjid dan surau di kawasan masing-masing bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Sementara itu, menerusi dana MRP Ahli Parlimen Betong, sejumlah RM68,000 turut disumbangkan kepada penerima yang sama termasuk Jawatankuasa Surau An-Najah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Betong.
Kedua-dua wakil rakyat berkenaan berharap agar dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melaksanakan pelbagai aktiviti komuniti, khususnya untuk mengimarahkan program sepanjang bulan Ramadan serta membuat persiapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong Kaunselor Horace Entoi, Penghulu Kampung Melayu Betong Kon @ Sapawi Yahu, Kaunselor Abdul Rahim Jaini serta para ketua kampung dari kawasan Kampung Melayu Betong.-EDISI UKAS