Kerajaan Percepat Pemulihan Projek Perumahan Sakit Demi Lindungi Pembeli
SIBU: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha memulihkan projek perumahan sakit di negeri ini bagi melindungi kepentingan pembeli serta memastikan kediaman yang dinanti dapat disiapkan secepat mungkin.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata usaha itu diterjemahkan menerusi pemeriksaan ke atas tiga projek perumahan bermasalah di Sarikei dan Sibu bagi meninjau sendiri perkembangan terkini serta langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, lawatan pada Isnin itu melibatkan projek Taman Muhibbah di Bintangor, projek perumahan di Lorong Salim 28, Sibu serta projek Kemunyang Height di Sibu.
“Kerajaan sentiasa memandang serius isu projek perumahan sakit kerana ia memberi kesan langsung kepada pembeli yang telah lama menunggu rumah mereka disiapkan.
“Sebab itu kita turun padang untuk melihat sendiri status semasa projek-projek ini dan memastikan segala usaha pemulihan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika ditemui semasa pemeriksaan tersebut.
Menurut beliau, projek Taman Muhibbah di Bintangor yang melibatkan 20 unit rumah telah tertangguh lebih tujuh tahun dan kini boleh dianggap sebagai projek terbengkalai susulan kegagalan pemaju sedia ada menyiapkannya.
Bagaimanapun, katanya, kementerian menerusi rundingan bersama pemilik tanah telah berjaya mengenal pasti sebuah syarikat ‘white knight’ bagi mengambil alih projek tersebut untuk menyiapkan kesemua unit rumah yang terlibat.
“Ketika ini kita berada pada peringkat melaksanakan pembatalan dan menandatangani surat pembatalan bagi menamatkan pemaju sedia ada dan menggantikannya dengan syarikat pemaju baharu sebagai ‘white knight’ untuk menyiapkan projek tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Michael Tiang berkata projek perumahan di Lorong Salim 28 yang dibangunkan oleh Golden Sun Construction Sdn Bhd turut mengalami kelewatan lebih lima tahun, antaranya disebabkan pandemik COVID-19 serta kenaikan mendadak harga bahan binaan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun begitu, beliau berkata projek berkenaan kini menunjukkan perkembangan positif apabila Fasa 1 yang melibatkan 21 unit rumah teres dua tingkat telah memperoleh Permit Menduduki (OP) pada awal bulan ini.
“Kelewatan sebelum ini turut berpunca daripada kerja pemasangan kabel bawah tanah serta penyambungan bekalan elektrik dan air, namun semua isu itu kini telah diselesaikan.
“Saya percaya Fasa 2 boleh disiapkan dalam tahun ini kerana kerja asas termasuk infrastruktur utiliti hampir siap, dan yang tinggal sekarang hanyalah kemudahan serta infrastruktur utiliti,” katanya.
Tambah beliau, Fasa 2 projek tersebut melibatkan 26 unit rumah dan kerja pembinaan kini sedang diteruskan dengan sasaran siap dalam tahun ini.
Selepas lawatan di Lorong Salim 28, beliau dijadualkan meneruskan pemeriksaan ke projek perumahan Kemunyang Height di Sibu yang turut mengalami kelewatan sebelum ini.-EDISI UKAS