Agihan 500 Bubur Sagu Semarak Semangat Kebajikan dan Perpaduan di Mukah
MUKAH: Agihan sebanyak 500 bungkus bubur sagu atau lebih dikenali sebagai bubur dedenguk bukan sekadar membawa juadah tradisional kepada penduduk, malah turut menyemarakkan semangat kebajikan, kesukarelawanan dan perpaduan komuniti di Mukah.
Inisiatif tersebut digerakkan menerusi satu program kebajikan yang berlangsung di Dataran Pehin Setiaraja pada Sabtu, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine bersama masyarakat setempat.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) Bahagian Mukah dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, sebagai usaha mengeratkan hubungan masyarakat di samping menyuburkan semangat saling membantu dalam kalangan penduduk.
Sebelum pengagihan dilakukan, aktiviti gotong-royong memasak bubur tersebut telah diadakan di Surau Kampung Petanak dengan penyertaan sukarelawan kebajikan dari seluruh Bahagian Mukah.
Semangat setiakawan dan kerjasama yang ditunjukkan para sukarelawan berjaya memastikan proses penyediaan bubur berjalan lancar sebelum diagihkan kepada orang ramai.
Program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati juadah tradisional, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim, selain memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam komuniti setempat.-EDISI UKAS