Program Jalinan Kasih Politeknik Mukah Eratkan Hubungan Dengan Komuniti Uma Daro
DARO: Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti Uma Daro anjuran Diploma Sains Kesetiausahaan, Jabatan Perdagangan, Politeknik Mukah berjaya menjadi platform yang memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat menerusi pelbagai pengisian aktiviti sepanjang penganjurannya dari 13 hingga 15 Mac lalu.
Ahli Dewan Negara Malaysia, Senator Michael Mujah Lihan berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mampu merapatkan hubungan antara pihak institusi pendidikan dengan komuniti, malah memberi manfaat yang nyata kepada semua pihak yang terlibat.
“Program seperti ini amat baik kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat, malah memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak yang terlibat.
“Pada masa sama, ia turut menjadi wadah untuk memupuk nilai kesukarelawanan serta keprihatinan sosial dalam kalangan pelajar, di samping membentuk kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan melalui penglibatan secara langsung dalam pengurusan program,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti Uma Daro di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, institusi pendidikan seperti Politeknik Mukah bukan sahaja berperanan melahirkan graduan cemerlang dari segi akademik, malah harus terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan hubungan kemasyarakatan.
“Justeru, saya berharap Politeknik Mukah akan terus maju sebagai institusi pendidikan yang unggul, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan berprinsip.
“Saya juga berharap agar hubungan erat dengan komuniti seperti ini dapat diteruskan melalui lebih banyak program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” ujarnya lagi.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk Program Anak Angkat yang melibatkan 23 pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan, aktiviti gotong-royong bersama komuniti, sesi townhall, sukaneka komuniti, pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak dan warga emas serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain yang menggalakkan interaksi antara pelajar dan penduduk setempat.
Dalam majlis tersebut, Senator Michael turut mengumumkan pemberian bantuan dana kepada beberapa organisasi komuniti sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan masyarakat setempat iaitu sebanyak RM10,000 kepada JKKK Uma Daro, RM5,000 kepada Biro Wanita Uma Daro dan RM5,000 kepada Jawatankuasa Gereja BEM Uma Daro.-EDISI UKAS