SEBUYAU: Seni silat berperanan mendidik generasi muda supaya berdisiplin, menghormati orang lebih tua dan mengamalkan nilai kesopanan dalam kehidupan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, latihan silat mampu membentuk jati diri anak muda melalui penerapan disiplin dan nilai hormat yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah.
Justeru, beliau berharap seni warisan itu terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda agar tidak hanya dipelajari sebagai seni mempertahankan diri, tetapi turut menjadi wadah pembentukan peribadi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Silat Piala YB Dato Sri Julaihi Siri Ke-3, di sini pada Sabtu.
Kejohanan anjuran Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Sebuyau itu menghimpunkan sembilan kontinjen dari Sebuyau, Sarikei, Sibu, Samarahan dan Bintulu, dengan penyertaan pesilat daripada pelbagai persatuan.
Antara kontinjen yang mengambil bahagian ialah SHPP Sebuyau, SHPP Sarikei, Helang Harimau Sibu, Harian Laut Sarawak, Adi Cimandi, SHPP Samarahan, Pencak Silat Bintulu dan Pukulan Spring 12 Mek Mat Sebuyau.
Selain menguji kemahiran dan keupayaan pesilat, kejohanan berkenaan turut menyediakan ruang kepada persatuan untuk bertukar pengalaman serta mengukuhkan hubungan antara pengamal seni silat dari beberapa kawasan di Sarawak.
Hadir sama, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Pemangku Presiden Rumpun Silat Sarawak, Dato Mohamad Yusnar Matalie dan Setiausaha Rumpun Silat Helang Putih Sarawak, Abas Hanif. -EDISI UKAS