MAIS Perluas Inisiatif Pemeliharaan Warisan Pribumi Sarawak Tahun Hadapan
PADAWAN: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) akan meneruskan inisiatif pemerkasaan pengetahuan tradisional bersama komuniti pribumi lain di Sarawak tahun hadapan.
Ketua MAIS, Datu Dr Neilson Ilan Mersat berkata, pemeliharaan warisan masyarakat pribumi memerlukan penglibatan aktif komuniti, selain usaha mendokumentasikan adat secara sistematik agar nilai, prinsip dan sejarah yang membentuk identiti masyarakat tidak hilang ditelan perubahan zaman.
Menurutnya, pendidikan kepada generasi muda juga penting bagi memastikan pengetahuan tradisional bukan sekadar direkodkan sebagai warisan sejarah, sebaliknya terus difahami, dihormati dan diamalkan dalam kehidupan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), di sini pada Sabtu.
Datu Neilson menambah, pendekatan menggabungkan pemeliharaan pengetahuan tradisional dengan penglibatan masyarakat setempat merupakan antara usaha MAIS memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi kerajaan dengan komuniti pribumi.
Sepanjang program, beliau turut menyertai aktiviti gotong-royong mengecat Sekolah Warisan serta mengadakan lawatan ke rumah panjang dan panggah di Kampung Segu Bunuk bagi mengenali dengan lebih dekat warisan, budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh setempat.
Pendekatan itu turut memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk memainkan peranan secara langsung dalam memelihara warisan mereka, selaras dengan tanggungjawab komuniti sebagai penjaga dan pewaris khazanah budaya.
Turut hadir, Setiausaha MAIS, Elsie William, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong, Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak, Temenggong Kloni Kanang dan Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Kuching, Raymond Jihap. -EDISI UKAS