Samarahan, Sadong Jaya Dan Asajaya Bakal Jadi Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Baharu
SADONG JAYA: Samarahan, Sadong Jaya dan Asajaya berpotensi muncul sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu susulan pembangunan jaringan jalan raya, lapangan terbang antarabangsa baharu serta kemudahan pelabuhan yang dijangka mengubah landskap pembangunan kawasan berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaksanaan projek infrastruktur strategik itu bakal memperkukuh kesalinghubungan antara kawasan, sekali gus membuka peluang pelaburan, pekerjaan dan keusahawanan kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, perancangan pembinaan jalan raya termasuk laluan berkembar serta jaringan penghubung ke Sadong Jaya dan Asajaya akan meningkatkan aksesibiliti penduduk, selain memudahkan pergerakan barangan dan aktiviti ekonomi.
Jelasnya, pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu dan perancangan pelabuhan berskala besar di kawasan pesisir turut dijangka memberikan kesan limpahan ekonomi kepada kawasan penempatan serta komuniti di sepanjang jajaran pembangunan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sebuah program di Panggung Udara Sadong Jaya, di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, perkembangan infrastruktur tersebut juga berpotensi memperluas kawasan pertumbuhan metropolitan Kuching dengan menghubungkan pusat bandar kepada kawasan pembangunan baharu di Samarahan, Sadong Jaya dan Asajaya.
Katanya, perubahan itu bukan sahaja akan meningkatkan kemudahan perhubungan, malah turut mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih dinamik, khususnya dalam sektor perkhidmatan, perdagangan dan keusahawanan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat tempatan, terutama golongan belia, supaya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan perancangan masa depan bagi merebut peluang yang bakal diwujudkan menerusi pembangunan tersebut.
Pembangunan infrastruktur yang dirancang ujarnya sedang dilaksanakan itu dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi kawasan Samarahan dan sekitarnya, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai sebahagian daripada koridor pertumbuhan baharu Sarawak.-EDISI UKAS