22 Jambatan Perkukuh Jaringan Perhubungan, Rancakkan Ekonomi Pesisir Sarawak
SADONG JAYA: Pembangunan 22 jambatan yang diketengahkan dalam agenda infrastruktur Sarawak mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan perhubungan, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar dan pesisir negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan jambatan serta Lebuh Raya Persisiran menjadi antara komponen penting dalam meningkatkan aksesibiliti dan memudahkan pergerakan penduduk antara kawasan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar itu bukan sahaja dapat mengurangkan kekangan perjalanan, malah turut memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan asas, aktiviti ekonomi dan peluang pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sebuah program di Panggung Udara Sadong Jaya, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim berkata, pembangunan Lebuh Raya Persisiran memberi manfaat besar kepada masyarakat yang tinggal di sepanjang kawasan pesisir, termasuk komuniti Melayu, Iban dan penduduk setempat yang bergantung kepada jaringan jalan raya untuk menjalankan urusan harian.
Jelasnya, projek jambatan utama seperti Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Lassa merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan memperkukuh aktiviti sosioekonomi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh peningkatan keupayaan kewangan Sarawak yang membolehkan lebih banyak projek pembangunan berimpak tinggi dirancang dan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, kedudukan kewangan negeri menunjukkan perkembangan ketara apabila angka belanjawan yang disebut sekitar RM6 bilion pada 2017 meningkat kepada kira-kira RM15 bilion bagi 2027.
Katanya, pengurusan kewangan yang berhemah menjadi asas penting bagi memastikan Kerajaan Sarawak terus berupaya melaksanakan projek infrastruktur, menyediakan kemudahan awam dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan.
Pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan yang semakin meluas turut dilihat mampu merangsang aktiviti perdagangan, meningkatkan mobiliti penduduk serta membuka potensi pembangunan baharu di kawasan luar bandar.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong, Puan Rodiyah Sapiee, Timbalan Residen Samarahan, Rais Ahmat, Ketua Bahagian Belia, Sukan dan Usahawan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Seroji Ludin, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin serta Pegawai Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.-EDISI UKAS