Padawan Adventure 4x4 Club Disaran Perbanyak Aktiviti Kebajikan, Kemasyarakatan
PADAWAN: Padawan Adventure 4x4 Club disarankan agar merancang dan menganjurkan lebih banyak aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan selain meneruskan aktiviti sukan permotoran 4x4.
Ahli Parlimen Puncak Borneo merangkap Penaungnya, Datuk Willie Mongin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kelab berkenaan terus relevan dan dilihat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
"“Kita tidak mahu orang ramai menganggap kelab itu (kelab 4x4) adalah untuk orang kaya.
“Kita seharusnya mempunyai lebih banyak aktiviti khidmat masyarakat yang dilihat relevan,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat agung tahunan kelab berkenaan pada Ahad.
Selain itu, beliau mencadangkan agar lebih banyak latihan kemahiran diperkenalkan kepada ahli kelab serta mewujudkan elemen keterujaan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan terutamanya menganjurkan empat aktiviti setahun yang luar cara tradisional.
Beliau turut mencabar ahli-ahli kelab untuk meneruskan penganjuran acara Countdown Tahun Baharu Puncak Borneo pada tahun ini selepas kejayaan penganjurannya pada malam tahun baharu 2026 walaupun berdepan hujan lebat serta gangguan bekalan elektrik beberapa minit selepas tengah malam.
Pada majlis sama, Datuk Willie turut menyampaikan geran sebanyak RM20,000 kepada kelab berkenaan bagi membiayai pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Sementara itu, Ramces Tawang dipilih semula sebagai presiden Padawan Adventure 4x4 Club bagi tempoh 2026 hingga 2027 semasa pemilihan yang diadakan bersempena mesyuarat agung tahunan kelab tersebut.
Turut mengekalkan jawatan masing-masing ialah Sanjan Daik sebagai naib presiden, Hansel Meran sebagai setiausaha, Robert Kenneth sebagai penolong setiausaha, Noel Samuel sebagai bendahari dan Jonnidi Subieb sebagai penolong bendahari.
Tiga ahli jawatankuasa biasa yang dipilih ialah Peter Apit, Kencha Dewok dan Sylvester Bunsin, manakala Sebastian Sakol serta Roland Gerejeh dilantik sebagai juruaudit kelab. -EDISI UKAS