SCS Scorecard Pacu Prestasi Strategik Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: SCS Scorecard memainkan peranan penting sebagai alat pengukuran prestasi strategik bagi memastikan setiap agensi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak sentiasa mengekalkan tahap penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berintegriti.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, melalui pendekatan SCS Scorecard, kerangka ini turut menyokong penjajaran pelaksanaan strategi agensi dengan aspirasi pembangunan Sarawak seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan agenda pembangunan Sarawak secara keseluruhannya.
Menurutnya, pendekatan pengukuran yang digunapakai dalam SCS Scorecard turut mengambil kira konsep Adopt and Adapt yang membolehkan Perkhidmatan Awam Sarawak menyesuaikan pelaksanaan berdasarkan keperluan organisasi masing-masing, termasuk dari aspek sistem, terminologi dan konteks operasi agensi.
"Pendekatan ini membolehkan kerangka pengukuran prestasi yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan pentadbiran dan pada masa yang sama memastikan bahawa pencapaian prestasi agensi dapat dinilai secara lebih menyeluruh serta relevan dengan keperluan pembangunan Sarawak.
"Sehubungan itu, pelaksanaan pengauditan yang sistematik dan berstruktur adalah amat penting bagi memastikan bahawa petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan bukan sahaja dipatuhi, malah benar-benar mencerminkan keberhasilan serta impak terhadap penyampaian perkhidmatan awam," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanatnya dalam Sesi Pembentangan Kriteria Pengauditan SCS Scorecard anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) yang turut dihadiri Pengarah STIU Superi Awang Said pada Isnin.
Datu Hii menambah, dalam masa yang sama, pengukuran prestasi melalui SCS Scorecard juga membolehkan setiap inisiatif agensi dinilai secara lebih objektif dan setara dengan kehendak semasa, selaras dengan keperluan transformasi perkhidmatan awam yang semakin dinamik.
Jelasnya, selepas beberapa tahun pelaksanaan SCS Scorecard diperkenalkan dalam Pentadbiran Awam Sarawak, langkah memperkukuh sistem ini telah dipertingkatkan melalui pelaksanaan audit SCS Scorecard yang kini diperluaskan kepada semua agensi Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Pendekatan ini memberi penekanan kepada aspek pematuhan terhadap metodologi scorecard, termasuk kejelasan definisi KPI, kesesuaian formula pengiraan, keselarasan dengan objektif strategik organisasi serta integriti sumber data yang digunakan.
"Berdasarkan rekod pencapaian pengauditan untuk tahun 2024, tahap pematuhan terhadap pelaksanaan SCS Scorecard telah mencapai 95.97 peratus, dengan hanya 4.03 peratus dikenal pasti sebagai tidak mematuhi kriteria yang telah ditetapkan.
"Pada masa yang sama, peratusan pelaksanaan SCS Scorecard kini telah mencapai 100 peratus melibatkan semua agensi dalam Pentadbiran Awam Sarawak,"ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, satu lagi pencapaian yang amat membanggakan ialah apabila SCS Scorecard telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Agencies Implementing Continuous Measurement Balanced Scorecard Performance” yang melibatkan 100 agensi dan direkodkan pada 1 November 2025.
Katanya, pencapaian ini merangkumi penyertaan 16 unit di bawah Jabatan Premier Sarawak, 12 Kementerian, 12 Pentadbiran Bahagian, 19 Jabatan Kerajaan, 24 Pihak Berkuasa Tempatan dan 17 Badan Berkanun Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen menyeluruh sektor awam negeri dalam memperkukuh amalan pengurusan prestasi yang berstruktur dan berimpak.
"Pengiktirafan ini membuktikan keberkesanan SCS Scorecard sebagai alat pengukuran prestasi strategik yang berterusan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Lebih penting lagi, pengiktirafan ini mencerminkan kejayaan penjajaran prestasi yang lebih berkesan dan tersusun terhadap PCDS 2030, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), Rancangan Malaysia serta pelan strategik agensi.
"Melalui pendekatan ini, setiap agensi dapat memastikan bahawa pelaksanaan inisiatif strategik mereka menyumbang secara berfokus dan terancang ke arah pencapaian agenda pembangunan Kerajaan Sarawak.
"Walau bagaimanapun, kita juga tidak menafikan bahawa masih terdapat beberapa agensi yang masih melaksanakan KPI berasaskan input dan dalam konteks ini peranan juruaudit adalah amat penting untuk membimbing agensi agar beralih kepada KPI berasaskan outcome (outcome based)," jelasnya lagi.
Sambil menambah, beliau menjelaskan, pendekatan ini amat penting kerana KPI yang berasaskan outcome mampu menilai keberkesanan sebenar sesuatu inisiatif dan impaknya terhadap pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sarawak secara menyeluruh.
Sehubungan itu katanya, kriteria pengauditan baharu yang dibangunkan ini memberi penekanan kepada beberapa aspek utama termasuk pematuhan, pencapaian outcome, prestasi keseluruhan agensi dan integriti data.
"Pendekatan ini amat penting bagi memastikan proses penilaian prestasi dilaksanakan secara telus, konsisten dan berasaskan bukti.
"Kerajaan Sarawak juga sentiasa memberi penekanan kepada aspek pembangunan kapasiti juruaudit bagi memastikan proses audit dapat dilaksanakan secara profesional dan selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
"Justeru, STIU secara berterusan menganjurkan kursus pengurusan KPI bertaraf antarabangsa dengan kerjasama The KPI Institute.
"Institusi tersebut merupakan sebuah badan pensijilan dan pusat penyelidikan antarabangsa berpangkalan di Eropah yang diiktiraf sebagai antara peneraju global dalam bidang pengurusan prestasi, KPI serta Balanced Scorecard.
"Institusi tersebut terkenal dengan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa seperti Certified KPI Professional and Practitioner (C-KPI) yang diguna pakai oleh organisasi awam dan swasta di lebih 60 buah negara," jelasnya lagi.
Program latihan selama tiga hari ini merupakan satu inisiatif strategik Kerajaan Sarawak yang bertujuan memperkukuh kompetensi juruaudit dalam melaksanakan audit KPI secara lebih sistematik, komprehensif dan berasaskan metodologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pada masa ini, seramai 37 orang Juruaudit SCS Scorecard telah dilantik secara rasmi oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, terdiri daripada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional yang berkelayakan serta berpengalaman.-EDISI UKAS