52 Anak Yatim Dan Yatim Piatu Di DUN Balingian Diraikan Dalam Program Sinar Syawal
MUKAH: Seramai 52 orang anak yatim dan yatim piatu diraikan dalam Program Sinar Syawal bersama ADUN Balingian di Medan Mall Mukah, pada Selasa.
Program julung kali diadakan itu anjuran Pusat Khidmat DUN N.58 Balingian bertujuan menceriakan dan menggembirakan anak-anak memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, dengan inisiatif tersebut, golongan itu dapat merasai kemeriahan perayaan seperti anak-anak yang lain.
“Sekurang-kurangnya dengan usaha ini, ia dapat menyerikan kehidupan mereka terutamanya yang tidak mempunyai ibu dan bapa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut.
Sebanyak sembilan buah kampung di bawah DUN Balingian terlibat dalam program ini antaranya, Kampung Kuala Balingian, Kampung Masjid Balingian, Kampung Tabo, Kampung Sungai Alo, Kampung Tutus Ulu, Kampung Skim Penempatan Semula (SPS) Sungai Alo, Kampung Bunut, Kampung Tanjung dan Kampung Matadeng Kecil.
Menerusi program tersebut, anak-anak yatim dan yatim piatu terpilih bebas untuk memilih pakaian raya kesukaan mereka.
Rata-rata mereka menzahirkan penghargaan kepada Abdul Yakub atas usaha tersebut terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri kelak.
“Saya berharap agar inisiatif ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak yang diraikan dan mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri ini dengan gembira dan bahagia,” tambah Abdul Yakub. - EDISI UKAS