‘Switching On Aidilfitri Lighting’ Serlah Keunikan Sarawak Sebagai Simbol Perpaduan
KUCHING: Cahaya lampu Aidilfitri yang menyinari patung kucing ikonik di Padungan bukan sekadar menceriakan bandar raya, malah menjadi simbol kehangatan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Majlis ‘Switching On Aidilfitri Lighting’ yang berlangsung meriah itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai latar belakang berkumpul, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, inisiatif menghias patung kucing ikonik di Padungan dengan tema perayaan telah menjadi tradisi signifikan yang bukan sahaja menarik pelancong, malah membangkitkan rasa bangga dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurut beliau, usaha berterusan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam mengekalkan tradisi tersebut mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Tradisi ini telah berlangsung sekian lama dan berjaya diteruskan dengan baik. Ia melambangkan rasa hormat antara satu sama lain serta menjadi asas kepada pembinaan negeri yang stabil dan aman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam dunia yang berdepan pelbagai konflik ketika ini, Sarawak kekal memilih jalan perpaduan dengan terus menghormati kepelbagaian serta mengekalkan kestabilan sosial.
Sementara itu, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, dekorasi tahun ini menampilkan patung kucing berpakaian tradisional Melayu sebagai simbol sambutan Aidilfitri yang inklusif serta mencerminkan identiti masyarakat majmuk negeri ini.
Menurutnya, penganjuran acara seumpama itu bukan sahaja memeriahkan suasana bandar raya, malah menjadi peringatan bahawa keamanan dan kestabilan perlu terus dipelihara.
“Tanpa kestabilan, kita tidak dapat menikmati keharmonian serta kemakmuran seperti yang dikecapi hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili berkata, acara tersebut berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana yang meriah dan penuh kebersamaan.
“Perayaan seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara komuniti, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” jelasnya.-EDISI UKAS