Pemimpin Kerajaan GPS Bertanggungjawab, Salurkan Pelbagai Bantuan Kepada Rakyat
PULAU BRUIT: Keupayaan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bantuan ini adalah hasil daripada pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin bertanggungjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang fokus dalam memajukan negeri dalam pelbagai aspek telah berjaya meletakkan Sarawak sebagai antara negeri berpendapatan tinggi di Malaysia.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, Kerajaan Sarawak membelanjakan lebih RM600 juta setiap tahun bagi melaksanakan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sebagai usaha berterusan membantu rakyat yang memerlukan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
”Selain SKAS, terdapat pelbagai lagi bantuan yang telah dilaksanakan termasuk bantuan kepada mahasiswa anak Sarawak,” jelasnya.
Datuk Abdullah berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi kawasan DUN N42 Semop di sini pada Isnin.
Menurut beliau, bantuan tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang layak, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya menjelang musim perayaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkongsi pengalaman menyampaikan taklimat kepada beberapa pemimpin dari Semenanjung Malaysia baru-baru ini, di mana beliau memperkenalkan tagline baharu oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) iaitu “Negeri lain tak buat, Sarawak buat.”
Tegasnya, slogan tersebut mencerminkan keunikan serta keupayaan Sarawak dalam melaksanakan dasar dan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur, beliau turut menyentuh pembukaan Jambatan Batang Igan yang kini telah boleh digunakan oleh orang awam bermula semalam selepas lebih dua dekad penduduk bergantung kepada perkhidmatan feri.
“Projek pembinaan jambatan ini pernah dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 2018, namun kini ia menjadi bukti kesungguhan kerajaan Sarawak dalam merealisasikan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, ketua-ketua jabatan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Pulau Bruit.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan. - EDISI UKAS