SUK Sarawak Tinjau Tapak Penempatan Semula, Pastikan Keselamatan Mangsa Tanah Runtuh Terjamin
MIRI: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki turun padang meninjau tapak cadangan penempatan semula bagi mangsa tanah runtuh di Tudan Fasa 5 sebagai usaha memastikan aspek keselamatan dan kesesuaian lokasi diberi keutamaan.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyelaras pelaksanaan projek perumahan semula melibatkan 15 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kejadian di Kampung Lereng Bukit tahun lalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci keperluan teknikal termasuk cadangan pembinaan tembok penahan bagi menjamin keselamatan kawasan sebelum projek dilaksanakan.
“Saya difahamkan oleh pihak Residen Miri bahawa mereka bersetuju untuk dipindahkan dengan beberapa penambahbaikan ke atas tapak.
“Dari segi konsep, kita akan bincang kemudian. Hari ini saya meninjau tapak sahaja kerana terdapat permintaan untuk membina tembok di kawasan ini supaya rumah dapat dibina dengan lebih selamat dan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Tegas beliau, pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi teknikal akan terus diperkukuh bagi memastikan penempatan semula ini dilaksanakan secara sistematik dan berdaya tahan.
Turut hadir Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof serta wakil agensi berkaitan termasuk Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Miri, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Miri dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). -EDISI UKAS