Masjid, Surau Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Pembangunan Ummah
LAWAS: Masjid dan surau perlu diperkasa sebagai pusat pembangunan ummah yang bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, malah menjadi wadah penyatuan masyarakat serta perbincangan isu agama, kebajikan dan kesejahteraan hidup.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, institusi tersebut perlu digerakkan secara lebih proaktif selaras dengan cabaran semasa termasuk perkembangan teknologi digital.
Menurut beliau, teknologi dan platform digital mampu dimanfaatkan untuk kebaikan, namun masyarakat perlu berwaspada terhadap penyebaran fahaman atau ideologi yang bertentangan dengan ajaran agama.
“Dalam era digital ini, kita perlu bijak menilai setiap maklumat agar tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan pegangan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Lembaga Amanah Khairat Islam Lawas (LAKHIL) kepada pengerusi, imam dan bilal masjid serta surau Daerah Lawas di Masjid Darul Ma’mur pada Isnin.
Majlis tersebut melibatkan penyertaan 15 masjid, 31 surau serta 65 Ketua Masyarakat dari seluruh daerah Lawas.
Dalam pada itu, beliau menegaskan dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak, masjid dan surau tetap memainkan peranan penting sebagai platform bermusyawarah serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penglibatan golongan belia dalam pengurusan masjid termasuk memegang peranan sebagai imam, bilal dan pentadbiran bagi melahirkan pelapis kepimpinan masa hadapan.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan masjid yang lebih cekap dan terancang meliputi aspek pentadbiran, kewangan serta penganjuran program yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.-EDISI UKAS