Sarawak Perkukuh Jaringan Sokongan Sosial Melalui CSSC
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan sokongan sosial menerusi penubuhan Community Social Support Centre (CSSC) sebagai pusat sehenti bagi membantu golongan rentan, termasuk mangsa keganasan rumah tangga, miskin bandar dan individu berdepan krisis sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif itu diwujudkan selepas mendapati banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai premis tetap untuk menjalankan aktiviti kebajikan.
Menurut beliau, CSSC menyediakan ruang secara percuma kepada NGO, agensi dan kementerian untuk melaksanakan pelbagai program melibatkan advokasi, intervensi, kaunseling serta pembangunan kapasiti komuniti.
“Pusat ini menjadi tempat pertemuan dan pelaksanaan aktiviti secara bersama, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat serta membantu individu yang berdepan pelbagai masalah sosial,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Beliau menambah, CSSC dilengkapi kemudahan seperti bilik kaunseling, ruang mesyuarat dan latihan bagi menyokong pelaksanaan program melibatkan wanita, warga emas, belia serta orang kurang upaya.
"Dalam menangani isu kemiskinan bandar, CSSC turut menempatkan dapur komuniti dengan kerjasama Society for Coaching Urban Poor (SCOOP) yang menyediakan makanan percuma kepada golongan memerlukan setiap hari.
“Inisiatif ini turut disokong oleh sumbangan orang ramai dan pihak korporat, sekali gus membolehkan penyediaan makanan bukan sahaja untuk satu hidangan harian, malah sarapan kepada golongan sasar,” katanya.
Sehingga kini, CSSC Kuching merekodkan 44 penerima bantuan makanan harian, 50 penerima bakul makanan, 27 penghuni perlindungan sementara, selain menguruskan sebanyak 653 kes sosial dan melaksanakan 760 program melibatkan advokasi, pencegahan, kaunseling serta pembangunan kapasiti.
Mengulas perkembangan seterusnya, beliau memakumkan CSSC di Sibu dijangka mula beroperasi pada April ini, diikuti Bintulu pada Mei, menjadikan tiga pusat beroperasi tahun ini termasuk di Kuching.-EDISI UKAS