BINTULU: Penganjuran Bintulu Sustainability Award (BiSA) 2026 dijangka menjadi pemangkin dalam memperkukuh budaya kelestarian melibatkan organisasi, komuniti dan individu di Bahagian Bintulu, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan wilayah tersebut.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari berkata, anugerah itu diperkenalkan sebagai platform pengiktirafan kepada pihak yang melaksanakan inisiatif pembangunan mampan dan pengurusan alam sekitar berimpak tinggi.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut turut menggalakkan perkongsian amalan terbaik serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian.
“Sepatutnya BiSA ini diglamorkan supaya pencapaian yang ditonjolkan dapat diketahui dengan lebih meluas,” katanya pada sidang media pra pelancaran BiSA 2026 di Wisma BDA pada Isnin.
Beliau berkata, penganjuran BiSA 2026 selaras dengan Pelan Strategik BDA 2024–2030 serta menyokong usaha menjadikan Bintulu sebagai hab industri rendah karbon menjelang 2030.
Pelaksanaan anugerah ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (DOE), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) serta Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu.
BiSA 2026 menawarkan enam kategori melibatkan perusahaan, sektor perkhidmatan, institusi pendidikan, agensi kerajaan, komuniti dan NGO serta individu.
Penyertaan dibuka secara dalam talian melalui laman web rasmi BiSA dengan tarikh tutup 30 Jun 2026 bagi kategori sekolah menengah dan 31 Julai 2026 bagi kategori lain.
Majlis kemuncak anugerah dijadualkan berlangsung pada Oktober ini sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan serta memperkukuh jaringan kerjasama ke arah pembangunan Bintulu yang lestari dan berdaya tahan.-EDISI UKAS