MARUDI: Pendekatan pembangunan berasaskan kerjasama antara kerajaan dan komuniti terbukti menjadi pemangkin kejayaan pembinaan rumah panjang di kawasan Sungai Stapang, sekali gus mempercepat transformasi luar bandar secara lebih mampan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, sinergi antara sokongan kerajaan dan penglibatan aktif penduduk setempat memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan berkesan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, walaupun kerajaan menyediakan bantuan dari segi kewangan dan teknikal, sumbangan tenaga serta komitmen komuniti menjadi faktor utama kejayaan projek.
“Semangat kebersamaan ini bukan sahaja mempercepatkan proses pembinaan, malah mengukuhkan hubungan dalam komuniti,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di kawasan Stapang, pada Selasa.
Dalam lawatan tersebut, beliau meninjau rumah panjang yang telah siap di Rh Sumbang, Stapang E serta perkembangan pembinaan di Rh Gau, Stapang D dan Rh Anie, Stapang C.
Menurut beliau, sokongan kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak memastikan pembinaan rumah panjang dilaksanakan secara lebih sistematik, selamat dan berkualiti.
Selain itu, lawatan turut melibatkan tinjauan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Stapang bagi melihat pelaksanaan projek di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang memberi manfaat kepada kemudahan pendidikan setempat.
Beliau menegaskan pendekatan pembangunan inklusif yang menggabungkan peranan kerajaan dan komuniti mampu mempercepatkan kemajuan luar bandar secara berterusan.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Marudi, Reagen Edwin, AJK Eksekutif SIDS Sarawak merangkap Pengerusi SIDS Cawangan Marudi, Yanti Nyanggau, ketua-ketua masyarakat serta tuai-tuai rumah.-EDISI UKAS