ADUN Simunjan Santuni 30 Ibu Tunggal Dalam Program Kebajikan
SIMUNJAN: Seramai 30 orang penerima melibatkan ibu tunggal kurang berkemampuan menerima sumbangan bakul makanan dalam satu majlis kebajikan yang berlangsung di Surau Taman Hijrah, pada Selasa.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang turut meluangkan masa menyantuni para penerima serta menyampaikan sumbangan secara langsung.
Program ini diadakan bagi meringankan beban golongan ibu tunggal dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Sumbangan bakul makanan yang diberikan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula dan bahan makanan lain serta kek dan biskut raya.
Berucap dalam majlis tersebut, Awla berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Daerah Simunjan itu merupakan satu usaha murni dalam membantu golongan memerlukan serta memastikan kebajikan mereka terus terbela.
“Walaupun sumbangan ini tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan harian, namun diharapkan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai satu budaya masyarakat dalam menghulurkan bantuan dan berkongsi rezeki, khususnya pada bulan yang penuh keberkatan.
Tambah beliau lagi, penganjuran program kebajikan seperti ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat selain memberi impak langsung kepada golongan yang memerlukan. -EDISI UKAS