450 Penerima Disantuni Dalam Program Ziarah Mahabbah Ramadan
KUCHING: Seramai 450 penerima di sekitar Kuching disantuni menerusi Program Ziarah Mahabbah Ramadan anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) yang berlangsung di tiga lokasi berasingan sepanjang Ramadan tahun ini.
Program kebajikan itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan di samping menyemarakkan semangat kebersamaan serta amalan kebajikan dalam kalangan masyarakat Islam.
Program dimulakan di Masjid Darul Islam, Kampung Bintawa Hilir sebelum diteruskan di Masjid Darul Muttaqin, Kampung Buntal dan berakhir di Masjid Darul Salihin, Kampung Telaga Air, dengan setiap lokasi melibatkan 150 penerima.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hadir menyempurnakan penutupan program tersebut Masjid Darul Salihin, Kampung Telaga Air pada Selasa.
Berucap dalam program tersebut, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, peranan masjid perlu terus diperkasa bukan sahaja sebagai tempat menunaikan ibadah, malah sebagai pusat penyatuan komuniti dan platform pembangunan ummah.
Beliau menggalakkan semua pihak agar terus memberi sokongan dan komitmen dalam menjayakan program kebajikan seperti ini supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat disantuni.
"Saya menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat untuk memberikan sokongan padu dan komitmen berterusan dalam menjayakan program seumpama ini demi memperkasa kesejahteraan masyarakat Islam di Sarawa," katanya.
Selain penyerahan sumbangan kepada penerima, Majlis Islam Sarawak turut menyampaikan bantuan kelengkapan dan peralatan kepada ketiga-tiga masjid sebagai usaha memperkukuh peranan institusi masjid dalam menyatukan komuniti serta memakmurkan rumah ibadah.
Majlis Islam Sarawak turut menyumbangkan sebuah mesin pencetak untuk kegunaan masjid bagi memudahkan urusan pentadbiran serta pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. -EDISI UKAS