Ukhuwah 30 Tahun Kekal Utuh, Bekas Penuntut USM Kembali Bersatu Dalam GSNS 2026
KUCHING: Selepas lebih 30 tahun meninggalkan kampus Universiti Sains Malaysia (USM), sekumpulan bekas penuntut kembali disatukan dalam suasana penuh nostalgia menerusi Program Sungkey Geng Sidak Nembiak Sarawak (G.S.N.S) USM 2026, sekali gus membuktikan ukhuwah yang terjalin kekal utuh merentas masa.
Program yang berlangsung pada Sabtu, 14 Mac 2026 bersamaan 24 Ramadan 1447H itu menghimpunkan seramai 81 ahli tegar GSNS termasuk ahli keluarga masing-masing di Raia Hotel & Convention Center Kuching dalam suasana penuh keakraban.
Penganjuran program tersebut merupakan tradisi tahunan dalam kalangan ahli GSNS yang sentiasa mencari peluang untuk berkumpul, dengan bulan Ramadan kekal menjadi pilihan utama bagi mengadakan majlis bersungkey serta menunaikan solat tarawih bersama.
Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kebajikan hasil dana yang dikumpul daripada ahli-ahli GSNS untuk disalurkan kepada Squad Prihatin Saribas yang dinaungi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas,
Datuk Mohamad Razi sitam yang juga graduan USM 1997 dan merupakan ahli tegar GSNS.
Ketua Penyelaras Program GSNS, Abdul Latif Upit berkata, hubungan yang terjalin dalam kalangan ahli GSNS diibaratkan seperti adik-beradik yang kekal utuh sejak zaman pengajian di universiti.
“Sahabat-sahabat dalam GSNS sudah diumpamakan sebagai adik-beradik. Persahabatan di kampus universiti dahulu masih kekal hingga kini.
"Saya berasa sungguh gembira dan terharu setiap kali berjaya mengumpulkan semula sahabat lama bersama anggota keluarga,” katanya.
Sementara itu, salah seorang ahli GSNS, Hajah Hartini Mahidin turut melahirkan rasa syukur dan kegembiraan kerana pertemuan tahunan tersebut menjadi peluang berharga untuk bertanya khabar serta mengikuti perkembangan sahabat dan keluarga masing-masing.
“Bayangkan kami bersahabat dari zaman bujang sehingga berkahwin dan berkeluarga. Kini, anak-anak masing-masing telah meningkat dewasa malah ada yang sudah berkerjaya,” katanya.
Program tersebut jelas mencerminkan kekuatan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan bekas penuntut yang terus dipupuk melalui penganjuran aktiviti tahunan.
Semangat kebersamaan seperti ini diharap terus berkekalan dalam masyarakat sebagai asas penting dalam mewujudkan negara yang harmoni serta merealisasikan wawasan kemajuan dan kemakmuran Sarawak.-EDISI UKAS