Laluan Terus Kuching–Guangzhou Dibuka, Perkukuh Sarawak Sebagai Hab Penerbangan Serantau
KUCHING: Pembukaan laluan penerbangan terus Kuching–Guangzhou hari ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau, sekali gus merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri.
Perkhidmatan yang dikendalikan oleh Batik Air itu menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun (CAN) dan beroperasi dua kali seminggu sepanjang tahun.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep, yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan laluan tersebut bukan sekadar menambah rangkaian penerbangan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pembukaan laluan ini merupakan langkah strategik yang akan merangsang pertumbuhan pelancongan, perdagangan dan pelaburan, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penerbangan dan pintu masuk utama ke Borneo,” katanya.
Beliau menambah, China kekal sebagai antara rakan ekonomi dan pasaran pelancongan utama Sarawak, dengan Guangzhou berperanan sebagai hab ekonomi penting di selatan China yang mempunyai jaringan luas ke bandar-bandar utama lain.
“Laluan terus ini akan meningkatkan akses pasaran, mempercepat pergerakan pelawat dan pelabur serta membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi antara Sarawak dan China,” ujarnya.
Sementara itu, penerbangan Kuching–Guangzhou dijadualkan beroperasi setiap Selasa dan Sabtu, manakala penerbangan Guangzhou–Kuching pula setiap Rabu dan Ahad.
Penerbangan OD662 berlepas dari Kuching pada jam 10.20 malam dan tiba di Guangzhou pada jam 2.20 pagi (hari berikutnya), manakala penerbangan OD663 berlepas dari Guangzhou pada jam 3.20 pagi dan tiba di Kuching pada jam 7.20 pagi.
Pesawat yang digunakan menyediakan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 146 tempat duduk kelas ekonomi dengan kapasiti keseluruhan seramai 159 penumpang.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.
“Dengan sokongan berterusan daripada pemain industri dan komuniti perniagaan, laluan ini berpotensi berkembang kepada perkhidmatan penerbangan berjadual penuh pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Wei Ping; ADUN Batu Kitang Dato Ir. Lo Khere Chiang; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB) Dr Sharzede Datu Salleh Askor; Pengarah Urusan Shenzhen Wanyue Travel Services Harvey Yi; Ketua Pegawai Eksekutif Bao Hang International Brandon Zhu; Pengerusi Malaysian Chinese Tourism Association (MCTA) Cawangan Sarawak Catherine Lau; Pengerusi Kuching China Trades Importers & Exporters Association Malaysia Datuk Yii Ming Tang; serta Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Waterboard Amy Tnay.-EDISI UKAS