Lembaga Pelabuhan Miri Perkukuh Tadbir Urus Digital Melalui Pensijilan ISMS
MIRI: Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) memperkukuh komitmen terhadap keselamatan maklumat dan tadbir urus digital menerusi pelaksanaan Pensijilan MS ISO/IEC 27001:2022 Information Security Management System (ISMS).
Pengerusinya Dato Paulus Palu Gumbang berkata, pelaksanaan piawaian antarabangsa itu mencerminkan kesungguhan LPM dalam memastikan perlindungan maklumat organisasi berada pada tahap tertinggi.
“Melalui inisiatif ini, kita berhasrat memperkukuh aspek kerahsian, integriti dan ketersediaan maklumat serta sistem di samping meningkatkan amalan tadbir urus dan pengurusan risiko,” katanya ketika Majlis Pelancaran Pelaksanaan ISMS di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau berkata pensijilan tersebut merupakan sistem pengurusan kelima yang akan diintegrasikan ke dalam Sistem Pengurusan Bersepadu LPM melengkapkan sistem sedia ada meliputi kualiti, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, alam sekitar serta anti-rasuah.
Menurutnya, pelaksanaan ISMS sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang menekankan transformasi digital sebagai pemacu utama pembangunan mampan dan daya tahan ekonomi.
Sementara itu, Pengurus Besar LPM Serawa Budol berkata pihaknya komited menjadikan ISMS sebagai rangka kerja pengurusan sistematik dalam melindungi aset maklumat organisasi daripada risiko keselamatan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan acara berbuka puasa bersama tetamu sebagai simbol kebersamaan dalam memperkukuh hubungan strategik.-EDISI UKAS