Rumah Terbuka Aidilfitri Astana Negeri Sarawak Berlangsung Hari Pertama Syawal
KUCHING: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang akan diadakan di Astana Negeri Sarawak.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato’ Seri Syed Hamzah Syed Paie berkata, rumah terbuka pada hari pertama Aidilfitri itu akan berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
Menurut beliau, sambutan pada tahun ini dijangka lebih meriah dengan persiapan yang lebih besar bagi menampung jumlah pengunjung yang dijangka seramai 20,000 pengunjung.
"Setakat ini, pelbagai persiapan sedang berjalan dengan lancar bagi memastikan kelancaran pengurusan trafik dan tempat letak kenderaan, penyediaan kemudahan khemah untuk pengunjung serta penyediaan pelbagai hidangan makanan kepada tetamu yang hadir.
"Untuk orang awam, dua tempat letak kereta akan disediakan iaitu di tempat letak kereta Wisma Bapa Malaysia dan tempat letak kereta Dewan Undangan Negeri Sarawak," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Dato’ Seri Syed Hamzah menambah, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi bantuan sewajarnya bagi memastikan aliran trafik menuju ke Astana berjalan lancer sepanjang majlis berlangsung.
Di samping itu jelasnya, sebanyak 10 buah van juga disediakan untuk membawa orang ramai dari tempat letak kereta ke Astana dan balik.
"Di dalam kawasan Astana , pihak Astana menyediakan dua khemah besar khas untuk orang awam. Setiap khemah mampu menampung kira-kira 1,500 orang pada satu-satu masa untuk menikmati juadah yang disediakan.
"Orang ramai dari pelbagai lapisan amatlah dialu-alukan untuk hadir ke Astana Negeri untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri tersebut serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
"Mereka digalakkan memakai pakaian tradisional mengikut kaum masing-masing dengan penampilan yang kemas dan sopan," ujarnya. -EDISI UKAS