Pelajar Jepun Sertai Penanaman 360 Pokok di Sabal, Perkukuh Usaha Hijau Sarawak
SIMUNJAN: Seramai 35 pelajar dari Gifu High School, Jepun menyertai program penanaman pokok di Hutan Simpan Sabal, baru-baru ini, sekali gus membuktikan penglibatan pelajar antarabangsa dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di Sarawak terus diperkukuh.
Program tersebut bukan sahaja menyokong inisiatif Kempen Greening Sarawak, malah mencerminkan kerjasama rentas negara yang semakin berkembang dalam memelihara khazanah alam negeri ini.
Dianjurkan hasil kolaborasi antara Jabatan Hutan Sarawak, Japan Malaysia Association dan Insar Tours & Travel, program berkenaan menghimpunkan seramai 60 peserta termasuk pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta komuniti setempat.
Sepanjang program itu, sebanyak 360 anak pokok spesies tempatan seperti lun, kapur bukit dan engkabang jantong berjaya ditanam sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan landskap hutan.
Penglibatan pelajar dari Jepun turut memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang pemuliharaan alam sekitar, di samping memupuk kesedaran dan kefahaman generasi muda mengenai kepentingan memelihara ekosistem melalui pengalaman secara langsung.
Selain itu, program berkenaan memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai usaha pemulihan hutan serta meningkatkan penghargaan terhadap ekosistem dan warisan semula jadi Sarawak.
Inisiatif ini juga dilihat menyokong usaha meningkatkan liputan hijau, memperkukuh daya tahan ekosistem serta menggalakkan penglibatan lebih meluas daripada komuniti, institusi dan rakan antarabangsa dalam pemuliharaan alam sekitar.-EDISI UKAS