SADONG JAYA: Kasih seorang anak kepada ayahanda terus terpahat apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menziarahi makam Almarhum Tuanku Jaafar Tuanku Sham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pendam, di sini pada Rabu.
Ketibaan beliau sekitar jam 9.15 pagi diiringi isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, disusuli bacaan tahlil dan doa yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dalam suasana penuh keinsafan.
Selesai ziarah, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut meninjau serta mendengar taklimat berkaitan cadangan projek naik taraf infrastruktur Tanah Perkuburan Islam Kampung Sadong Jaya sebagai usaha memperkukuh kemudahan komuniti setempat.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Pasar Tani Sampun bagi menyantuni penduduk serta menyokong usahawan tempatan dengan membeli hasil tani yang dijual.
Lawatan diteruskan ke Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Tambirat, di mana beliau turut meluangkan masa berinteraksi dengan peniaga serta membeli hasil laut segar dan makanan kering, sekali gus menyokong ekonomi mikro setempat.
Pendekatan turun padang tersebut mencerminkan keprihatinan dan kedekatan institusi Yang di-Pertua Negeri dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sadong Jaya Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan MPKS Abang Ismawi Abang Ali dan Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup. –EDISI UKAS