Pelaksanaan SKAS diteruskan, bukti komitmen kerajaan bantu rakyat tangani kos sara hidup
SIBU: Pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang memasuki tahun kedua pada 2026 membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata kesinambungan program tersebut menunjukkan kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat dan tidak pernah mengabaikan golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, SKAS yang diperkenalkan tahun lalu merupakan langkah intervensi langsung kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barangan keperluan.
“Program ini memberi kesan besar kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, justeru bantuan seperti SKAS amat diperlukan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.
“Ia juga mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri Bukit Assek di Sibu pada Rabu.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju menambah baik nilai bantuan pada tahun ini melibatkan semua kategori penerima.
Katanya, bantuan bagi kategori isi rumah dinaikkan daripada RM800 kepada RM950, warga emas daripada RM400 kepada RM500, manakala kategori bujang meningkat daripada RM250 kepada RM300.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa bantuan SKAS disalurkan secara berperingkat bagi membantu penerima merancang perbelanjaan dengan lebih teratur.
“Bantuan ini diagihkan dalam tiga peringkat iaitu pada 10 Mac, Mei dan November supaya penerima dapat mengurus kewangan dengan lebih baik,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa penggunaan platform digital dalam kalangan penerima semakin meningkat apabila lebih 90 peratus penerima telah mendaftar dengan aplikasi SPay Global.
Menurutnya, penggunaan sistem digital yang meluas akan memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan lain secara lebih bersasar dan berkesan kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Turut hadir Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon, Pegawai Daerah Bahagian Sibu Tsong Chow Choon, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sibu selaku Pegawai Selia Sosial Sylvia Lau Gin Si serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS