Kemudahan PPKI Baharu Tingkatkan Kualiti Pembelajaran Murid Berkeperluan Khas di Meradong
BINTANGOR: Murid berkeperluan khas di kawasan Meradong bakal menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif menerusi pembinaan baharu bangunan Program Pendidikan Khas dan Inklusif (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pembangunan kemudahan pendidikan khas seperti PPKI amat penting dalam memastikan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.
“Pendidikan inklusif perlu terus diperkasa agar tiada murid yang tercicir. Kemudahan seperti ini bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran yang lebih sesuai, malah membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.
“Kita komited untuk terus memperjuangkan keperluan rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan di kawasan Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Upacara Ringkas Penyerahan Tapak bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melibatkan pembinaan baharu bangunan PPKI di SK Bandar Bintangor, pada Rabu.
Projek yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei dengan kerjasama pihak sekolah serta agensi berkaitan itu menandakan permulaan rasmi pelaksanaan usaha kerajaan dalam meningkatkan infrastruktur pendidikan, khususnya bagi murid berkeperluan khas di kawasan luar bandar.
Menurut pihak pelaksana, projek pembinaan ini dijadualkan bermula pada 23 Mac 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 22 Januari 2027, dengan tempoh pelaksanaan selama 10 bulan serta kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM600,000.
Skop projek merangkumi pembinaan bangunan kelas baharu yang dilengkapi dengan kemudahan asas yang selesa, selamat dan mesra kepada murid berkeperluan khas, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Selain memberi manfaat kepada murid, kemudahan ini juga dijangka membantu guru dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam pada itu, pihak sekolah menyambut baik pelaksanaan projek tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh sistem pendidikan inklusif di kawasan berkenaan.
Pelaksanaan projek RTP ini turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kemudahan pendidikan yang setara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS