Kerajaan Sarawak Tingkat Peruntukan dan Kadar Bantuan SKAS, Ringankan Beban Rakyat
SPAOH: Golongan berpendapatan rendah di Sarawak terus menerima kelegaan apabila kerajaan negeri meningkatkan peruntukan serta kadar bantuan di bawah Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi tahun 2026 dalam usaha meringankan beban kos sara hidup.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program SKAS merupakan antara inisiatif utama kerajaan negeri bagi memastikan rakyat mempunyai akses berterusan kepada keperluan asas makanan, khususnya dalam situasi peningkatan harga barangan ketika ini.
“Pada tahun pertama pelaksanaan SKAS, lebih 888,000 penerima yang layak telah menerima manfaat dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM480.2 juta. Bagi tahun 2026, peruntukan telah ditingkatkan kepada RM640 juta bagi memastikan kesinambungan bantuan ini.
“Bagi tahun ini, seramai 857,814 penerima layak menerima SKAS di seluruh Sarawak, termasuk 50,284 penerima di Bahagian Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Rabu.
Tambah beliau, kadar bantuan turut dinaikkan mengikut kategori iaitu isi rumah daripada RM800 kepada RM950, warga emas daripada RM400 kepada RM500, dan bujang daripada RM250 kepada RM300.
Menurutnya, bantuan tersebut disalurkan secara berperingkat pada bulan Mac, Mei dan November bagi memastikan sokongan kewangan diterima secara berterusan sepanjang tahun.
Dalam pada itu, penyaluran bantuan dilaksanakan melalui aplikasi S Pay Global bagi memastikan penggunaannya tertumpu kepada pembelian barangan keperluan asas di pasar raya dan peruncit berdaftar, di samping menyokong usaha ke arah masyarakat tanpa tunai yang lebih cekap, selamat dan moden.
Bagi penerima kategori pesakit terlantar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), urusan penebusan akan diselaraskan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB).
Manakala penerima lain yang menghadapi kesukaran boleh mendapatkan bantuan melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk tindakan lanjut.
Di Bahagian Betong, sebanyak 86 pasar raya dan peruncit berdaftar membolehkan penerima menggunakan bantuan SKAS, melibatkan kawasan Betong, Spaoh, Debak, Saratok, Pusa, Maludam, Kabong dan Roban.
Datuk Amar Douglas Uggah turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pejabat Residen dan Daerah serta KMKK atas peranan penting dalam memastikan pelaksanaan SKAS berjalan lancar dan berkesan kepada golongan sasar.
Dalam masa yang sama, beliau berharap agar para penerima memanfaatkan bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan asas keluarga masing-masing.-EDISI UKAS