SIBU: Pendigitalan bantuan kebajikan negeri terus menunjukkan keberkesanan apabila lebih 90 peratus penerima Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 telah mendaftar dan menggunakan platform SPay Global.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata, penggunaan sistem digital secara meluas membolehkan penyaluran bantuan dilaksanakan dengan lebih cepat, tepat dan bersasar.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee semasa Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di Bisonte Grocer & Deli Supermarket, pada Rabu.
Menurutnya, pendekatan digital itu bukan sahaja memudahkan penerima, malah membuka ruang kepada kerajaan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan lain secara lebih efisien pada masa hadapan.
“Penggunaan platform seperti SPay Global ini mempercepat proses penyaluran bantuan serta memastikan ia sampai kepada golongan sasar tanpa ketirisan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan SKAS 2026 turut diperkukuh dengan peningkatan kadar bantuan bagi semua kategori penerima sebagai langkah membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Katanya, kadar bantuan bagi kategori isi rumah dinaikkan daripada RM800 kepada RM950, manakala warga emas meningkat daripada RM400 kepada RM500 dan kategori bujang daripada RM250 kepada RM300.
Tambah beliau, bantuan tersebut akan disalurkan secara berperingkat dalam tiga fasa iaitu Mac, Mei dan November bagi membantu penerima merancang perbelanjaan dengan lebih sistematik.
Menurutnya, pelaksanaan berterusan SKAS mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah.
Hadir sama wakil Pemangku Residen Bahagian Sibu Wellyes Cheluday, wakil Pegawai Daerah Sibu, Cynthia Ong Hshiang Ping, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wee dan Pemanca Sharifah Ainie Sayeed Alwi.-EDISI UKAS