Persembahan Zikir Semarakkan Sambutan Maulidur Rasul Di Sri Aman
SRI AMAN: Masjid Bandar Sri Aman bergema dengan alunan zikir dan selawat menerusi Program Persembahan Zikir Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M yang berlangsung selepas solat Maghrib pada Isnin.
Program berkenaan diserikan dengan kehadiran Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sri Aman selaku tetamu kehormat.
Sebanyak 12 kumpulan zikir dari sekitar Sri Aman dan kawasan berhampiran mengambil bahagian dalam program tersebut.
Persembahan zikir dan selawat daripada setiap kumpulan berjaya menghidupkan suasana di Masjid Bandar Sri Aman, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.
Penganjuran program itu merupakan antara usaha untuk menyemarakkan syiar Islam dan memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, selain menyuburkan rasa kasih, cinta serta penghormatan umat Islam terhadap Baginda.
Pada masa sama, program berkenaan menjadi wadah untuk menggalakkan masyarakat membudayakan amalan zikir dan selawat dalam kehidupan seharian serta mengimarahkan masjid melalui pengisian kerohanian yang bermanfaat.
Program itu juga diharap dapat menarik minat golongan muda untuk mendalami ilmu dan seni zikir agar amalan tersebut terus dipelajari, dihayati serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Penyertaan kumpulan-kumpulan zikir dari pelbagai kawasan turut membuka ruang untuk mengeratkan ukhuwah dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Islam di Bahagian Sri Aman serta kawasan sekitarnya. -EDISI UKAS