Emas Bersejarah Jadi Kenangan Manis Skuad Sim Racing Sarawak
KUCHING: Kegembiraan, kebanggaan dan rasa tidak percaya masih dirasai skuad sim racing Sarawak selepas mencipta sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama negeri dalam acara e-sukan di pentas Sukan Malaysia (SUKMA).
Skuad yang dibarisi Aaron Richard, Jeff Tan Qi Rui, Genevieve Henrietta Ooi dan Cindy Cheng Ming En muncul juara perlumbaan endurance yang dipertandingkan di SUKMA XXII Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ pada Rabu, sekali gus mencipta sejarah sebagai penyumbang emas pertama Sarawak dalam e-sukan sejak sukan berkenaan diperkenalkan pada SUKMA 2018.
Kejayaan itu turut hadir menerusi gandingan atlet dengan latar pengalaman berbeza dengan Aaron membuat penampilan sulung di SUKMA, manakala Cindy, 15, turut beraksi buat kali pertama dalam temasya berkenaan.
Aaron menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka, terutama selepas pertama kali membawa cabaran Sarawak di pentas SUKMA.
“Saya juga kali pertama menyertai SUKMA dan dapat membawa pulang pingat emas. Saya sangat bangga dan terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Selasa.
Bagi Jeff pula, kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila ia merupakan pingat emas pertama yang dimenanginya.
Cindy turut melahirkan kegembiraan kerana dapat menyumbang emas kepada Sarawak menerusi penampilan sulungnya di temasya berkenaan.
Perjalanan pasukan itu bukan mudah apabila berdepan pencabar yang mempunyai kepantasan serta kemudahan latihan lebih maju.
Namun, latihan konsisten dan keupayaan mengawal tekanan membantu mereka mengejar serta mengatasi saingan sepanjang perlumbaan.
Menurut Aaron, persiapan mereka tidak hanya tertumpu kepada aspek teknikal, sebaliknya turut merangkumi latihan mental dan fizikal bagi memastikan atlet mampu mengekalkan fokus ketika berada di atas rig.
“Dalam perlumbaan, ia bukan sentiasa tentang menjadi pantas. Ia juga tentang bagaimana kita mengendalikan tekanan kerana jika tidak mampu mengawalnya, kita mungkin kehilangan banyak posisi atau tidak dapat bersaing dengan peserta lain,” katanya.
Latihan fizikal turut dilakukan bagi mengurangkan risiko kekejangan dan kesakitan otot, manakala latihan simulasi digunakan untuk membiasakan atlet dengan situasi perlumbaan sebenar.
Jeff dilaporkan menjalani latihan sehingga sembilan jam sehari, manakala Cindy membahagikan masa antara persekolahan dan latihan dengan kira-kira dua jam latihan selepas waktu sekolah sebelum meneruskan persiapan di rumah.
Kejayaan itu kini membuka sasaran baharu buat keempat-empat atlet untuk mengembangkan karier dalam sim racing dan sukan permotoran.
Jeff menyasarkan peluang mewakili Malaysia pada temasya SEA Games akan datang, manakala Aaron mahu meneruskan perjalanan sehingga bergelar pemandu kereta lumba profesional.
Cindy turut menyimpan hasrat untuk mengembangkan penglibatannya dalam bidang perlumbaan selepas pengalaman sulung di SUKMA.
Ketiga-tiga atlet turut merakamkan penghargaan kepada keluarga masing-masing atas sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan mereka dalam sukan sim racing. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Naseem Razali